e

e

Pages

Wednesday 16 September 2015

Decoupage Art Casing

Teks : Noor Farhana Ibrahim
Imej  : Noor Farhana Ibrahim


Assalamualaikum wbt...

Bertemu kita lagi pada hari ini, alhamdulillah. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini. Hari-hari yang sibuk membuatkan saya tidak sempat untuk menjengah blog namun pada hari ini saya ingin mencuri sedikit masa untuk berkongsi pengalaman dan minat saya.

Minat saya dalam bidang seni kreatif sentiasa subur di hati. Semasa saya menuntut di universiti dahulu, saya tidak nampak peluang untuk mengembangkan minat saya malah untuk menceburi bidang perniagaan langsung tiada dalam pemikiran saya. Namun setelah bekerja, saya tercari-cari sesuatu untuk mengisi ruang kosong dalam diri ini. Alhamdulillah, Allah membuka mata dan pemikiran saya untuk meneruskan dan mengembangkan bakat saya dalam dunia seni kreatif. Betul kata pepatah, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Setelah saya masuk kelas dan menuntut ilmu dalam dunia decoupage, pelbagai ilham yang Allah kurniakan. Ada sahaja idea yang ingin saya ketengahkan. Bila dah minat, penat bekerja hilang begitu sahaja apabila saya duduk dan mulakan projek seni kreatif. 

Kebiasaanya casing handphone dicetak (printed) sememangnya cantik untuk memenuhi kehendak pelanggan. Namun, saya ingin menghasilkan satu kelainan dan ingin memberi sentuhan baru pada casing dengan melukis dan menggunakan teknik decoupage untuk memberi efek yang lebih dekat dengan jiwa dan menarik. Setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza. Pada saya, sesuatu yang di digitalkan memang sangat menarik namun tidak mampu memberi nyawa dan agak kaku kepada si pemilik. Apabila kita memberi sentuhan sendiri dengan tangan dan bermain dengan cat atau bahasa yang lebih mudah handmade, sesuatu itu nampak lebih hidup dan mempunyai jiwa yang membuatkan si pemilik lebih menghargai. Ini merupakan pandangan peribadi saya sendiri sebagai orang yang meminati seni. Alhamdulillah, setelah saya memberi sentuhan pada casing handphone saya, ramai yang mula meminati hasil kerja saya dan membuat tempahan untuk merasai suatu kelainan.

Projek Decouopage Art Casing bermula ! Model handphone HTC Desire 600







Hasil sentuhan Decoupage Art saya.


Saya lebih suka mengetengahkan konsep vintage dan rustic kerana lebih dekat dengan jiwa. Kepada anda yang ingin memiliki casing handmade ini boleh hubungi saya di facebook fafa farhana ibrahim.
Semoga kita bertemu lagi! Assalamualaikum..

Monday 24 August 2015

KELAS DECOUPAGE

Teks : Noor Farhana Ibrahim
Imej : Noor Farhana Ibrahim

Dalam hati, semangat untuk belajar dan menuntut ilmu seni sangat membakar jiwa. Hari demi hari, semangat itu semakin membara. Niat itu telah saya pendam setahun lebih lamanya kerana pelbagai halangan dan cabaran hidup. Namun, Alhmdulillah..Allah telah membuka ruang dan peluang kepada saya untuk pergi menuntut ilmu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembira dan bersemangatnya hati ini.

Pada 16 Ogos 2016 yang lepas, sayaa telah menghadiri kelas decoupage yang dipantau oleh cikgu berpengalaman dan juga merupakan kawan kepada ibu saya. Ibu saya yang memperkenalkan kepada saya kerana minat seni yang mendalam dalam jiwa saya. Cikgu tersebut lebih dikenali sebagai honey gee. Beliau sering keluar di kaca tv dan juga majalah untuk berkongsi ilmu decoupage.
Sejujurnya, saya tidak tahu apa itu decoupage sehinggalah saya menghadiri kelas tersebut. Perasaan gementar menyelubungi diri kerana saya tidak pernah menghadiri mana-mana kelas seni sebelum ini namun semua perasaan itu hilang apabila saya mula belajar. Seni decoupage ini sangat menarik dan memerlukan kreativiti, kerajinan dan kesabaran yang tinggi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apa itu decoupage, anda boleh baca di entri saya sebelum ini.

Saya agak kekok pada mulanya untuk memegang berus kerana sekian lama saya meninggalkan dunia lukisan. Saya kini banyak menggunakan komputer. Untuk melembutkan semula tangan, mengambil masa juga.
Pembelajaran yang pertama

Antara bahan-bahan yang diperlukan
Hasilnya, Decoupage saya!

Apa itu Seni Decoupage?

Teks : Noor Farhana Ibrahim
Imej : Carian Google


Decoupage ini berasal dari perkataan Perancis iaitu découper, yang membawa maksud pemotongan. Pemotongan merupakan salah satu cabang seni di mana berlakunya pemotongan bahan-bahan yang tertentu dan ditampal pada objek dan kemudian dicat untuk menghasilkan efek seperti yang diingini. Apabila semua proses tersebut siap, objek tersebut akan disapu dengan varnish (untuk menjadikan bahan tersebut kalis air). 

Bahan-bahan yang diperlukan dalam membuat seni decoupage ini adalah :
1. Gam decoupage
2. Cat akrilik (cat ini sesuai untuk pelbagai permukaan)
3. Kertas decoupage ( seeloknya menggunakan kertas yang nipis kerana semakin tebal kertas digunakan semakin banyak lapisan varnish perlu disapu)
4. Cat Varnish (Glossy / doff)
5. Berus cat
6. Shrink wrap (fungsinya adalah untuk meluruskan dan menghilangkan gelembung yang mungkin terperangkap apabila kita menampal kertas pada objek. Shrink wrap memastikan tempelan menjadi rata dengan objek.

Decoupage ini masyarakat selalu kaitkan dengan folk art (seni budaya / seni yang memperlihatkan zaman dahulu kala / seni vintage) namun ia masih mendapat tempat di hati masyarakat terutama golongan wanita yang menyukai konsep feminin. Selain daripada itu, dengan kreativiti yang ada, decoupage ini juga boleh dijadikan seni moden yang lebih dekat dengan jiwa belia.

Seni ini mempunyai banyak cabang yang boleh kita terokai. Apa yang kita perlukan adalah sifat kerajinan, kesabaran dan keativiti. InsyaAllah, hasil yang anda dapat pasti memuaskan hati anda!

Bahan Decoupage


contoh Decoupage

Sunday 9 August 2015

TIPS MEREALISASIKAN LANSKAP IDAMAN


Teks : Noor Farhana Ibrahim
Imej : Carian Google



Seni lanskap merupakan gabungan antara sains dan seni dalam mengubahsuai dan menyusun atur lanskap lembut (pokok serta tumbuhan renek) dan lanskap kejur (kerusi, meja, pejalan kaki) dalam suatu plan komprehensif secara terancang.



Dalam bahasa yang lebih difahami, seni lanskap merupakan pengolahan daripada elemen semulajadi dan buatan bagi menghasilkan laman yang harmoni.
Projek landskap dalam ruang yang terhad seperti halaman kediaman merupakan lanskap berskala kecik dan terkawal namun pengolahan lanskap yang dibuat perlulah betul agar dapat menghasilkan laman yang harmoni dan tidak cacar merba. Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi beberapa tips dan panduan bagi merealisasikan lanskap idaman anda, antaranya adalah :


KONSEP


1. Pastikan konsep landskap pilihan anda itu selari dengan rekabentuk rumah dan corak hiasan dalaman rumah anda bagi mencetuskan perasaan serta pandangan yang harmoni. Sekiranya anda ingin menanam gugusan pokok atau tanaman hiasan pastikan anda menyusunnya mengikut ketinggian..pokok tinggi kat belakang manakala yang renek di depan. Sekiranya ia berbunga nanti, anda akan melihat hasilnya.

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
Dalam pemilihan konsep, kita perlu memastikan konsep landskap selari dengan konsep kesuluruhan kediaman anda bagi menghasilkan lanskap yang harmoni dan tidak kelam kabut dari segi rekabentuk. Namun, sekiranya anda seorang yang aggresif dan menginginkan suatu kelainan dalam konsep lanskap dan kediaman, tiada masalah. Situasi ini akan menghasilkan suatu 'perasaan kejutan (sense of surprise) dan suasana persekitaran yang lebih menarik apabila kita keluar dari kediaman untuk menikmati keindahan laman. Tapi awas! Apabila kita ingin menghasilkan laman seperti itu, kita perlu memastikan beberapa rekabentuk dalam kediaman mempunyai sedikit persamaan dengan lanskap agar mempunyai kesinambungan dan keseimbangan antara kedua-dua konsep tersebut.

Terdapat banyak konsep yang boleh kita terapkan dalam laman kita antaranya adalah konsep Bali, Tropika, Melayu, Oriental, Jepun, English. Minimalist dan sebagainya. 

Konsep Minimalist yang ringkas tapi menghasilkan impak yang baik



PEMILIHAN LANSKAP LEMBUT 

Lanskap berkait rapat dengan tumbuhan. Oleh itu, dalam membina lanskap, anda perlu menitikberatkan beberapa perkara sebelum membuat pemilihan pokok bagi lanskap anda. Antaranya adalah :


1. Hierarki Ketinggian Pokok
    - Pokok Tinggi
    - Pokok Sederhana
    - Pokok renek
    Pokok-pokok ini perlu disusun atur mengikut ketinggian. Pokok tinggi perlu berada di  
    belakang, pokok sederhana pula berada di tengah manakala pokok renek berada di 
    hadapan. Lapisan ketinggian pokok ini akan menghasilkan impak lanskap yang baik.


Susunan pokok mengikut hierarki ketinggian


2.  Ketahanan Pokok (Lanskap outdoor)
     -  Pokok yang tahan panas
     -  Perlu pastikan kadar penerimaan cahaya matahari bagi spesis yang dipilih
        (setengah spesis memerlukan cahaya matahari penuh manakala ada yang
        perlukan cahaya yang sedikit redup)
     -  Kadar siraman air yang diperlukan (setiap spesis memerlukan kadar air yang 
        berbeza) 
     - Kadar gugur daun juga perlu diambil berat terutama kepada pemilik sibuk / kurang
       gemar menguruskan lanskap.

      
Ketahanan Pokok (Lanskap indoor)
     -  Pokok yang tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak
     -  Perlu pastikan kadar penerimaan cahaya matahari bagi spesis yang dipilih
        (setengah spesis memerlukan sedikit pencahayaan manakala ada yang perlu redup)
     -  Kadar siraman air yang diperlukan (setiap spesis memerlukan kadar air yang 
        berbeza) 
     - Perlu memilih pokok yang kurang gugurkan daun agar kediaman sentiasa bersih.

(Tips : pilih pokok yang tahan lasak dan senang dijaga, elakkan menanam pokok yang terlalu manja untuk dijaga kerana proses mengurus lanskap akan menjadi lebih mudah)



PEMILIHAN WARNA POKOK

    - Tidak perlu memilih terlalu banyak pokok berwarna-warni kerana laman anda akan
       menjadi cacar merba.
    - Pilih pokok berbunga atau berwarna dan jadikan pokok itu sebagai fokus utama/daya
      penarik kepada laman.
    - Banyakkan pokok berwarna hijau bagi mengekalkan kesegaran dan keharmonian
      laman.

Pokok renek berwarna sebagai fokus utama sebagai tarikan kepada pengguna



PEMILIHAN LANSKAP KEJUR

Lanskap kejur seperti kolam air pancut (water feature) mampu menyerikan laman anda. Anda tidak perlu takut untuk memiliki memiliki landskap berunsur air kerana ia boleh menjadi fokus utama dalam lanskap laman anda. Bunyi percikan air mampu mencipta suasana yang nyaman dan segar malah sebagai terapi diri. Selain daripada itu, terdapat pelbagai jenis lanskap kejur yang boleh anda terapkan dalam lanskap anda antaranya adalah feature wall, gazebo, pergola, pejalan kaki, meja kopi dan sebagainya.


Water Feature mewujudkan suasana yang damai dan nyaman


BUDGET 

Budget juga perlu diambil kira dalam perancangan lanskap anda. Hal ini kerana, segala impian dan idea lanskap anda yang menarik tidak akan dapat dilaksanakan tanpa perkiraan budget yang anda mampu. Oleh itu, peruntukkan duit yang anda mampu dan hasilkan lanskap dalam linkungan tersebut. Walaupun budget kurang, dengan pengolahan yang baik dan bijak, anda dapat menghasilkan impak lanskap yang baik.



Tips tersebut merupakan perkara asas yang perlu anda lihat sebelum membuat lanskap di laman kediaman anda agar laman anda lebih teratur dan anda juga tidak pening kepala apabila pokok-pokok tersebut membesar. Semoga bermanfaat kepada anda semua dan temui saya dalam entri yang seterusnya.




   

Tuesday 4 August 2015

Landskap Cahaya Kehidupan


Teks : Noor Farhana Ibrahim
Sumber Imej : Carian Google


Assalamualaikum..


Entri kali ini  saya ingin membawa anda menyelami kepentingan landskap dalam kehidupan seharian kita. Dalam kita mengejar kesibukan bekerja, kita alpa untuk menitik beratkan kehijauan dalam kehidupan. Saya pasti, ramai yang menginginkan landskap kediaman yang diidamkan namun disebabkan proses pengurusan taman yang perlu dilakukan, hasrat tersebut terus terkubur layu.


"SIMEN" LANDSKAP ?

Pengurusan taman memerlukan disiplin dan kesabaran yang tinggi bagi memastikan landskap sentiasa kelihatan kemas dan teratur. Namun disebabkan itu jugalah, ramai yang memilih untuk menyimen kawasan halaman rumah untuk dijadikan parking kereta, tempat sidai baju, menambah ruang rumah dan sebagainya. Tiada lagi kehijauan yang boleh dilihat melainkan simen yang keras yang tidak mampu memberi kesan rohani kepada diri.





PERSEPSI YANG PERLU DIUBAH !

Kita perlu mengubah persepsi dan sikap dalam diri kita. Kita perlu sedar, dunia kita semakin ketandusan tanah dek kerana kerakusan manusia membina 'hutan konkrit' yang akhirnya membawa kepada pelbagai kesan negatif. Tahukah anda, dengan melihat kehijauan dan alam semula jadi mampu memberi ketenangan dalam hati kita? Cuba kita perhatikan, apabila kita berada dalam satu taman yang indah, kita akan merasa sangat nyaman dan damai. Hal ini kerana, banyak ion positif yang bergerak dalam badan kita yang akhirnya melahirkan satu perasan damai. Mungkin juga ramai di antara kita yang tidak tahu bahawasanya tanaman juga mempunyai 'mata, hati dan telinga' dan merupakan makhluk Allah dimana kehidupannya hanya bertuhankan Allah Yang Maha Besar. Mereka sentiasa berzikir kepada Allah dan mendoakan kesejahteraan mereka yang menanam serta menjaganya. Tanpa kita sedar, Alam semulajadi mendekatkan diri kita kepada Allah dengan merenung dan melihat kejadian alam. Kita akan sentiasa mengagumi ciptaan Allah yang unik, indah dan mendamaikan jiwa. Selain daripada itu, kita juga dapat muhasabah diri kita dengan mempelajari sifat-sifat yang ada pada tumbuhan.

Tanda kekuasan Allah adalah apabila apa yang Allah ciptakan di langit dan di bumi dan di antara keduanya tidak diciptakan dengan sia-sia tetapi mempunyai hikmah untuk kita. Hikmah untuk kita lebih mengingati Allah dan meningkatkan ibadah kepadanya.

Allah pernah berfirman :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ 

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka". [Ali 'Imran/3:190-191].


Kita sentiasa berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan namun kita sangat lambat dalam mengejar pahala. Allah telah memberi peluang yang luas untuk kita mengejar pahala namun kita sahaja yang tidak nampak. Pahala mudah yang boleh kita buat adalah dengan menanam pokok. Persoalannya, kenapa perlu tanam pokok untuk dapat pahala? Yup, pokok adalah ladang pahala kerana apabila kita menanam pokok, ia akan sentiasa mendoakan kita. Apabila kita menyiram pokok setiap hari, kita akan menerima ganjaran pahala dan keberkatan doa dari pokok-pokok yang kita tanam dan pelihara. Apabila ada orang berteduh di bawah pokok yang ditanam, kita mendapat pahala. Apabila ada haiwan datang makan buah-buahan di atas pokok yang ditanam ataupun yang telah gugur, kita dapat pahala. Apabila ada lebah atau rama-rama menghisap madu pada bunga-bungaan yang kita tanam, kita juga dapat pahala. Sangat mudah untuk mendapat pahala bukan?

Jadi marilah kita sama-sama mengubah persepsi tentang landskap kepada sesuatu yang lebih bermanfaat. Tiada kerugian buat kita kerana kita akan mendapat pulangan yang lumayan di akhirat kelak tanpa kita sedari.

Lanskap kediaman


Lanskap kediaman


KONSEP LANDSKAP

Di bawah tajuk ini, saya akan menjelaskan tentang konsep lanskap yang boleh di implementasikan di laman kediaman anda terutama kepada pemilik yang kurang gemar mengurus lanskap. Dengan mempelajari konsep landskap yang sesuai dengan kediaman serta tahap kerajinan anda, kini tiada masalah lagi untuk anda mempunyai laman lanskap yang anda idamkan selama ini. Nantikannya dalam entri saya yang seterusnya. Tunguuuu......

Wednesday 29 July 2015

Salam Perkenalan

Teks : Noor Farhana Ibrahim

Assalamualaikum,


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat illahi kerana Allah masih memberi nikmat dalam hidup ini. Terima Kasih Ya Allah kerana memberi peluang dan ruang untuk saya menceburi bidang bloggers dan menelusuri cabang bisnes yang saya minati.

Sebelum kita menelusuri dunia Design dan Landskap Dari Rumah, saya ingin kongsikan sedikit latar belakang saya selaku penulis blog ini.

Saya Noor Farhana bt. Ibrahim merupakan seorang gadis yang biasa tetapi ingin merubah kehidupan kepada luar biasa. Tanggungjawab sebagai anak sulung dari 6 beradik membuatkan saya melonjak-lonjak ingin menjadi role model terbaik buat adik- adik. Saya bukanlah golongan pelajar yang cerdik pandai tetapi kesungguhan dan keazaman yang jitu telah membawa saya ke fasa kehidupan pada hari ini...syukur Alhamdulillah.

Saya dilahirkan di negeri Che Siti Wan Kembang iaitu di Machang, Kelantan dan kini menetap di Ipoh, Perak. Saya mendapat pendidikan di SMK Doktor Megat Khas, Ipoh yang banyak mengajar saya erti kehidupan untuk terus berjaya. Setelah saya mendapat keputusan PMR dan SPM, saya menerima tawaran untuk masuk ke Kolej Matrikulasi Kedah, Changloon, Kedah dalam jurusan Sains Fizikal. Di matrik inilah yang menjadi titik tolak yang membawa saya hingga ke peringkat ini di mana saya lebih menjurus ke arah bidang landskap.

Saya terlalu meminati alam semulajadi dan hasil sentuhan rekabentuk landskap yang membuatkan sesuatu kawasan mempunyai fungsi dan nilai estatik. Setelah tamat pengajian di KMK, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dalam bidang Senibina Landskap. Segala pahit manis sebagai pelajar Senibina Landskap masih terpahat di ingatan. Pada tahun 2014, saya telah ditawarkan bekerja di sebuah firma lanskap arkitek iaitu Urbanscape Consultant Sdn Bhd di Kuching, Sarawak. Saya menerima tawaran tersebut walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana keinginan yang tinggi untuk menimba pengalaman serta membuka mata dan minda yang lebih luas di negeri Bumi Kenyalang. Namun pada awal tahun 2015, saya tidak dapat meneruskan kerjaya saya di Sarawak dengan lebih lama kerana ibu yang dikasihi telah disahkan mengidap kanser otak tahap 4.
Dalam masa yang singkat, saya menguruskan pertukaran tempat kerja di Petaling Jaya supaya saya dapat menjaga ibu yang menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Hal ini tidak mudah bagi saya kerana terlalu banyak onak dan duri yang terpaksa saya lalui dalam tempoh tersebut. Tetapi Allah Maha Mengetahui, saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi saya rezeki yang tidak saya sangka di mana saya telah mendapat tawaran sebagai Landskap Arkitek di BEP Akitek Sdn Bhd, Petaling Jaya, Alhamdulillah...syukur tidak terhingga.

Rezeki Allah limpahkan tidak terhenti di situ, dalam saya bekerja saya telah mendapat tempahan dari rakan-rakan untuk merekabentuk landskap laman di rumah mereka. Sehinggalah pada satu tahap, saya terfikir bahawa saya boleh kembangkan lagi bakat saya dengan membuat bisnes lanskap. Sebagai seorang lanskap arkitek, saya tahu saya tidak akan mempunyai masa terluang yang banyak untuk bersama keluarga apabila saya berkeluarga kelak. Walaupun masih bujang, saya ingin menjadikan blog ini sebagai medium kepada saya untuk menawarkan khidmat merekabentuk lanskap kepada masyarakat dan berdiri di kaki sendiri kerana saya ingin memberi ruang dan masa untuk bekeluarga kelak apabila mengambil keputusan berhenti kerja.

Sesungguhnya Akademi Bekerja Dari Rumah banyak memberi inspirasi kepada saya. Siapa kata seorang pemegang ijazah tidak mampu untuk memegang jawatan sebagai surirumah yang menjana pendapatan hanya dari rumah? Seorang surirumah perlu kreatif dalam meningkatkan potensi diri dan menambah nilai dalam diri. InsyaAllah..

Semoga kita bertemu lagi dalam entri yang seterusnya.
Salam perkenalan dari saya yang biasa-biasa yang ingin merubah kehidupan kepada luar biasa.

Wassalam