e

e

Pages

Wednesday 29 July 2015

Salam Perkenalan

Teks : Noor Farhana Ibrahim

Assalamualaikum,


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat illahi kerana Allah masih memberi nikmat dalam hidup ini. Terima Kasih Ya Allah kerana memberi peluang dan ruang untuk saya menceburi bidang bloggers dan menelusuri cabang bisnes yang saya minati.

Sebelum kita menelusuri dunia Design dan Landskap Dari Rumah, saya ingin kongsikan sedikit latar belakang saya selaku penulis blog ini.

Saya Noor Farhana bt. Ibrahim merupakan seorang gadis yang biasa tetapi ingin merubah kehidupan kepada luar biasa. Tanggungjawab sebagai anak sulung dari 6 beradik membuatkan saya melonjak-lonjak ingin menjadi role model terbaik buat adik- adik. Saya bukanlah golongan pelajar yang cerdik pandai tetapi kesungguhan dan keazaman yang jitu telah membawa saya ke fasa kehidupan pada hari ini...syukur Alhamdulillah.

Saya dilahirkan di negeri Che Siti Wan Kembang iaitu di Machang, Kelantan dan kini menetap di Ipoh, Perak. Saya mendapat pendidikan di SMK Doktor Megat Khas, Ipoh yang banyak mengajar saya erti kehidupan untuk terus berjaya. Setelah saya mendapat keputusan PMR dan SPM, saya menerima tawaran untuk masuk ke Kolej Matrikulasi Kedah, Changloon, Kedah dalam jurusan Sains Fizikal. Di matrik inilah yang menjadi titik tolak yang membawa saya hingga ke peringkat ini di mana saya lebih menjurus ke arah bidang landskap.

Saya terlalu meminati alam semulajadi dan hasil sentuhan rekabentuk landskap yang membuatkan sesuatu kawasan mempunyai fungsi dan nilai estatik. Setelah tamat pengajian di KMK, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dalam bidang Senibina Landskap. Segala pahit manis sebagai pelajar Senibina Landskap masih terpahat di ingatan. Pada tahun 2014, saya telah ditawarkan bekerja di sebuah firma lanskap arkitek iaitu Urbanscape Consultant Sdn Bhd di Kuching, Sarawak. Saya menerima tawaran tersebut walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana keinginan yang tinggi untuk menimba pengalaman serta membuka mata dan minda yang lebih luas di negeri Bumi Kenyalang. Namun pada awal tahun 2015, saya tidak dapat meneruskan kerjaya saya di Sarawak dengan lebih lama kerana ibu yang dikasihi telah disahkan mengidap kanser otak tahap 4.
Dalam masa yang singkat, saya menguruskan pertukaran tempat kerja di Petaling Jaya supaya saya dapat menjaga ibu yang menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Hal ini tidak mudah bagi saya kerana terlalu banyak onak dan duri yang terpaksa saya lalui dalam tempoh tersebut. Tetapi Allah Maha Mengetahui, saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi saya rezeki yang tidak saya sangka di mana saya telah mendapat tawaran sebagai Landskap Arkitek di BEP Akitek Sdn Bhd, Petaling Jaya, Alhamdulillah...syukur tidak terhingga.

Rezeki Allah limpahkan tidak terhenti di situ, dalam saya bekerja saya telah mendapat tempahan dari rakan-rakan untuk merekabentuk landskap laman di rumah mereka. Sehinggalah pada satu tahap, saya terfikir bahawa saya boleh kembangkan lagi bakat saya dengan membuat bisnes lanskap. Sebagai seorang lanskap arkitek, saya tahu saya tidak akan mempunyai masa terluang yang banyak untuk bersama keluarga apabila saya berkeluarga kelak. Walaupun masih bujang, saya ingin menjadikan blog ini sebagai medium kepada saya untuk menawarkan khidmat merekabentuk lanskap kepada masyarakat dan berdiri di kaki sendiri kerana saya ingin memberi ruang dan masa untuk bekeluarga kelak apabila mengambil keputusan berhenti kerja.

Sesungguhnya Akademi Bekerja Dari Rumah banyak memberi inspirasi kepada saya. Siapa kata seorang pemegang ijazah tidak mampu untuk memegang jawatan sebagai surirumah yang menjana pendapatan hanya dari rumah? Seorang surirumah perlu kreatif dalam meningkatkan potensi diri dan menambah nilai dalam diri. InsyaAllah..

Semoga kita bertemu lagi dalam entri yang seterusnya.
Salam perkenalan dari saya yang biasa-biasa yang ingin merubah kehidupan kepada luar biasa.

Wassalam